Perang AS- Iran industri durian Malaysia terhimpit?

Industri durian Malaysia kini berdepan tekanan berganda apabila lebihan hasil awal musim bertembung dengan kenaikan kos eksport susulan konflik geopolitik, sekali gus memaksa pekebun masuk ke “mod bertahan”.

Menurut laporan South China Morning Post, cuaca panas telah mempercepatkan musim tuaian, menyebabkan lambakan bekalan pada masa sama kos bahan api dan logistik meningkat akibat gangguan rantaian bekalan global termasuk kesan konflik Iran.

Situasi itu memberi tekanan besar kepada model eksport durian premium Malaysia yang bergantung kepada penghantaran pantas ke pasaran utama seperti China melalui sistem rantaian sejuk yang mahal.

Seorang pengusaha durian dilaporkan berkata kos pembungkusan dan logistik yang sebelum ini sekitar 20 peratus daripada hasil kini berpotensi melonjak sehingga 50 peratus, memaksa pemain industri mengurangkan kos dan pembaziran untuk terus bertahan.

Dalam masa sama, lebihan hasil yang dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang dijangka menambah lagi tekanan terhadap harga dan margin keuntungan.

Pemerhati industri melihat perkembangan ini mendedahkan kelemahan struktur sektor durian tempatan yang lebih bergantung kepada kualiti premium berbanding jumlah eksport besar seperti pesaing serantau.

Keadaan itu juga berlaku ketika konflik di Asia Barat terus memberi kesan kepada kos tenaga dan pengangkutan global, sekali gus menjejaskan rantaian eksport makanan bernilai tinggi.

Perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada industri durian Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan tekanan kos dan ketidaktentuan global, atau bakal berdepan cabaran lebih besar dalam tempoh terdekat.