Cabaran terbuka: ‘Auditlah saya!’ – AMANAH Kedah lawan balik Sanusi

Ketua AMANAH Kedah, Asmirul Anuar Aris mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya melaksanakan audit serta menyiasat dakwaan yang dibangkitkan, sambil menegaskan beliau bersedia disiasat oleh pihak berkuasa.

Asmirul berkata beliau memandang serius tuduhan yang dikaitkan terhadap dirinya dalam ceramah politik baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan bersifat menyerang peribadi.

“Saya bersedia untuk disiasat secara telus oleh SPRM. Kebenaran mesti ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa pendekatan politik berasaskan tuduhan tanpa bukti bukan sahaja mencemarkan suasana, malah mengalihkan perhatian daripada isu sebenar berkaitan prestasi pentadbiran negeri.

Menurutnya, selepas lebih enam tahun pentadbiran, rakyat kini menilai kerajaan berdasarkan pelaksanaan projek, bukan sekadar pengumuman.

Asmirul turut mempersoalkan status beberapa projek yang didakwa masih belum menunjukkan hasil jelas, selain menuntut penjelasan mengenai penggunaan dana tertentu.

Antara yang dibangkitkan ialah dana berkaitan pembinaan litar lumba di Sungai Petani, yang menurutnya melibatkan jumlah RM20 juta dan perlu dijelaskan secara terbuka kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan melibatkan peruntukan RM10 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan menegaskan kerja berkaitan telah dilaksanakan lebih awal ketika beliau memegang jawatan Exco.

Beliau turut mengingatkan bahawa tuduhan tanpa bukti boleh membawa implikasi undang-undang, sambil memaklumkan pihaknya telah mengarahkan peguam untuk meneliti kenyataan yang dikeluarkan.

Asmirul menegaskan bahawa rakyat Kedah berhak mendapat kepimpinan yang telus, berintegriti dan berasaskan fakta, bukan retorik politik.

Perkembangan ini dilihat bakal memanaskan lagi landskap politik negeri, susulan pertikaman lidah terbuka antara kedua-dua pihak.

BACA JUGA Tak perlu bayar dulu: Bank Rakyat tawar moratorium