Mahasiswa OKU UM pun boleh ke luar negara?

Universiti Malaya melakar sejarah apabila melancarkan program mobiliti antarabangsa pertama di Malaysia yang direka khas untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus membuka peluang pembelajaran global yang lebih inklusif.

Program dikenali sebagai INCLUDE (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence) itu akan menyaksikan kumpulan perintis seramai 12 pelajar OKU penglihatan mengikuti program mobiliti di Universitas Multimedia Nusantara, Jakarta pada Mei ini.

Pelancaran program tersebut disempurnakan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, yang turut menyaksikan sendiri keupayaan pelajar OKU termasuk sesi pengenalan Braille yang dikendalikan oleh pelajar universiti berkenaan.

Dalam masa sama, UM turut menerima sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa bagi menyokong pelaksanaan program dan keperluan peserta.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Mobiliti Global (GMC) dengan kerjasama beberapa entiti termasuk Pusat Kaunseling dan Pemerkasaan OKU (CCDE), Kolej Kediaman Ketujuh serta rangkaian AUN-DPPnet.

Inisiatif tersebut selari dengan agenda nasional di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi tumpuan kepada akses pendidikan lebih inklusif, termasuk kepada lebih 3,000 pelajar OKU di seluruh negara.

Langkah ini dilihat sebagai satu lonjakan penting dalam memastikan pelajar OKU bukan sahaja mendapat akses pendidikan, tetapi turut berpeluang merasai pengalaman antarabangsa seperti pelajar lain.