Wayang pacak hidup balik: Permatang Pasir jadi ‘panggung rakyat

Lebih 200 penduduk memeriahkan program tayangan wayang pacak yang bertukar menjadi “panggung terbuka” apabila komuniti setempat berkumpul dalam suasana santai dan penuh gelak tawa, malam tadi.

Program berkenaan turut menarik perhatian apabila pelakon filem Babah, Qi Razali dan Cristina Suzanne, hadir menyantuni penduduk serta beramah mesra secara langsung.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam perkongsian di media sosial berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program Jelajah Agenda Komuniti (JAGO) yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membawa hiburan lebih dekat dengan rakyat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti santai yang inklusif.

“Inisiatif JAGO oleh JAPEN memang padu, bawa hiburan dekat dengan komuniti sambil eratkan kebersamaan,” katanya.

Program seumpama ini dilihat sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti selari dengan aspirasi kerajaan dalam membina masyarakat yang lebih bersatu dan inklusif.