“Konvoi mat motor ke airport?” Loke arah sekatan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyelar tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang menganjurkan konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, dengan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, kawasan lapangan terbang merupakan zon kritikal yang memerlukan tahap keselamatan tinggi serta kelancaran operasi bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terganggu.
“Sekiranya berlaku kesesakan hingga penumpang terlepas penerbangan, siapa akan bertanggungjawab?” katanya.
Loke turut mempersoalkan sama ada konvoi tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, memandangkan sebarang aktiviti melibatkan pergerakan besar kenderaan perlu mematuhi prosedur keselamatan sedia ada.
Susulan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk bekerjasama dengan polis trafik bagi melaksanakan sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan akan dilakukan ke atas semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang, tanpa pengecualian termasuk melibatkan mana-mana wakil rakyat.
Langkah tersebut diambil bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi lapangan terbang kekal terjamin, selain mengelakkan sebarang gangguan kepada pengguna awam.