Era baharu SPRM bermula, Abdul Halim pikul amanah berat perangi rasuah

OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Hari ini terjawab teka-teki sama ada kedudukan Tan Sri Azam Baki akan disambung atau tidak. 

Awal pagi ini (semalam) Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan kenyataan media mengenai pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan

Sri Azam Baki berkuatkuasa 13 Mei 2026.

Walau apa pun kritikan orang ramai dan orang politik terhadap TS Azam Baki, nampaknya ramai orang mula gerun dengan tindakan SPRM semenjak kerajaan Madani memerintah. 

Bermula dengan tangkapan orang politik dalam kes Jana Wibawa kemudian kes orang korporat, kes Panglima ATM, kes Ketua JUPEM, Ketua JAS dan mutakhir ini kes yang melibatkan NGO Agama serta tokoh popular agamawan. 

Sebelum DS Abdul Halim dilantik, Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah bahawa beliau sendiri akan memilih orang yang akan menggantikan TS Azam Baki. 

Semalam, media melaporkan PMX telah mempersembahkan nama pengganti TS Azam Baki.

Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 menyatakan, “(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia, untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.”

Oleh itu, proses pelantikan ini telah selesai dan kontroversi TS Azam Baki juga diharapkan akan selesai juga. 

Isu berkaitan pegangan saham itu kita tidak tahu sama ada akan ada tindakan lanjut atau tidak.

Atas kenyataan YDPA itu, ini bermakna KP SPRM yang baharu ini adalah orang yang diberikan kepercayaan oleh YDPA untuk menggalas tugasan yang ditinggalkan oleh TS Azam Baki. 

Ini juga seperti satu hint bahawa walau pun Perdana Menteri memberikan nasihat tetapi ia bukanlah nasihat yang mengikat sepenuhnya atau dalam kata lain, YDPA akan patuh 100% terhadap nasihat itu. 

Masih ada ruang perbincangan di antara YDPA dan Perdana Menteri untuk mencari tokoh dan akhirnya YDPA yang mempunyai ‘final say’ terhadap pelantikan KP SPRM ini. 

Dalam ilmu perlembagaan, pelajar biasanya diajar bahawa YDPA mesti bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam hal yang berkaitan prerogatif YDPA. 

Namun, dari segi amalannya teori ini amat sukar untuk dilaksanakan khasnya dalam keadaan ketiadaan majoriti mutlak sesebuah parti yang memerintah. 

Dalam keadaan tertentu nasihat itu mungkin perlu kepada perbincangan awal bersama YDPA dan Perdana Menteri sebelum Perdana Menteri memberikan nasihat rasmi. 

Ini bermakna perlembagaan ini ada fleksibiliti tertentu di antara teori dan amalan. 

Harapan masyarakat terhadap DS Abdul Halim ini amat tinggi. Paling tidak DS Abdul Halim perlu setara dengan TS Azam Baki dari segi agresif dan mesra media. 

Walau pun TS Azam Baki dihentam siang malam namun beliau berani berhadapan dengan media. 

Kenyataan media yang rasmi daripada KP SPRM adalah mustahak pada zaman tiktok ini kerana ruang manipulasi fakta itu mungkin berlaku hanya dalam satu malam. 

Walau pun DS Abdul Halim itu sudah mencapai usia 69 tahun namun diharapkan beliau masih mampu dan mempunyai stamina untuk menghadapi cabaran memerangi rasuah khususnya di kalangan jerung. 

Barah rasuah di Malaysia ini bukan kecil jumlahnya. Kita tidak mahu suspek yang dituduh itu hanya suspek ikan bilis yang melibatkan orang bawahan. 

KP SPRM mesti juga menyiasat jerung besar seperti yang dilakukan oleh TS Azam Baki terhadap pegawai tertinggi di Angkatan Tentera Malaysia, JUPEM dan Jabatan Alam Sekitar. 

Mungkin KP SPRM yang baharu ini juga dapat melihat projek-projek di bawah kementerian yang melibatkan pengurusan tertinggi termasuklah sehingga ke peringkat KSU Kementerian. 

Segala ruang rasuah perlu ditutup dengan kemas jika kita inginkan Malaysia yang berjaya. 

Selain itu, kita juga berharap supaya suspek SPRM ini bukan setakat dibawa reman dan gambar dibawa reman itu disebar sehingga mendatangkan pelbagai spekulasi, kita mahu supaya suspek itu dibawa ke Mahkamah untuk didakwa secepat mungkin. 

Kita berharap selepas sahaja habis tempoh reman, biarlah suspek itu didakwa terus. Ini bermakna SPRM perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 95% kertas siasatan sebelum suspek itu direman.

BACA JUGA Bekas Hakim jadi KP SPRM?” PM kata fokus integriti