Bukan saja di Malaysia, dekat Vietnam pun Abang Mat masak

Kunjungan rasmi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke Hanoi bukan sahaja tertumpu kepada agenda diplomasi dan kerjasama dua hala, malah turut diserikan dengan aktiviti santai bersama delegasi Malaysia di perantauan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Mohamad berkongsi momen bergotong royong bersama para pegawai untuk menyediakan juadah makan malam di Rumah Malaysia, Hanoi.

“Bang Mat dengan para pegawai bergotong-royong masak kari untuk makan malam kat Rumah Malaysia, Hanoi. 

“Semua pakat bantu-membantu, rasa macam satu keluarga besar walaupun kita semua jauh di perantauan,” kongsinya.

Pada masa sama beliau juga menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai serta isteri, Datin Akiko Morioka Tan atas layanan istimewa sepanjang kehadiran delegasi Malaysia.

“Inilah dia semangat Malaysia yang sebenar, walaupun di bumi Vietnam, kehangatan dan kemesraan yang ditunjukkan tetap buat kita rasa macam kat rumah sendiri,” ujarnya.

Semalam, Mohamad mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Hanoi, Vietnam yang bertujuan memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara dalam bidang kerjasama pertanian.