Ekonomi global kian genting, PM Anwar seru penilaian semula keutamaan negara

Perdana Menteri menegaskan Malaysia perlu menilai semula keutamaan ekonomi negara susulan cabaran ekonomi global yang semakin meruncing, diperburuk oleh ketegangan geopolitik yang kian memuncak.

Berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 malam tadi, beliau berkata meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan negara, kerajaan perlu kekal tangkas, responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko semasa serta merangka hala tuju mampan untuk jangka panjang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia.

Namun, beliau mengakui langkah tersebut menuntut komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai secara berhemah demi menjamin kelangsungan ekonomi dalam jangka sederhana dan panjang.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan keperluan memperkukuh keupayaan negara dalam meramal dan mendepani risiko, sama ada dalam jangka pendek mahupun sederhana, melalui pengurusan ekonomi yang lebih strategik dan berfokus sebagai teras utama dasar negara.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia yang semakin bergelora dengan krisis geopolitik, perpaduan umat Islam bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan mendesak.

“Kekuatan kita terletak pada kesatuan yang berteraskan prinsip, berpaksikan keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Setiap langkah dan dasar yang diambil harus menjurus kepada matlamat yang jelas menentang segala bentuk penindasan serta mempertahankan hak mereka yang dizalimi, khususnya saudara-saudara kita di Palestin,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Rupanya RM2,300 sesaat kerajaan tanggung untuk subsidi bahan api