Isu Negeri Sembilan selesai ikut formula politik – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kemelut politik di Negeri Sembilan akan diselesaikan melalui rundingan politik, tanpa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau sistem perundangan adat.

Menurut Presiden Umno itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri  Anwar Ibrahim hari ini bagi memperincikan hala tuju penyelesaian krisis berkenaan.

“Saya akan menyelesaikan kemelut itu melalui politik dan kita tidak akan campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun undang-undang adat Negeri Sembilan.

“Harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita.

Zahid berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, sebarang langkah perlu dibuat mengikut prosedur dan peraturan sedia ada, dan bukan secara tergesa-gesa.

“Pada hemat saya, ia tidak semudah itu. Yang terbaik ialah mengikuti semua peraturan dan prosedur sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita mahu pastikan sebuah kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan dapat terus melayani dan mendepani masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-54 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kesemua 14 Adun Barisan Nasional Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam Pilihan Raya Negeri 2023, gabungan PH-BN membentuk kerajaan negeri apabila menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.

Daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN (14), manakala PN memiliki lima kerusi.

BACA JUGA Ikut nasihat Tuanku, jalankan pentadbiran macam biasa – Anwar