Langkah Jalal di Negeri Sembilan bangkitkan ‘igauan Sheraton’
Oleh Ahmad Mursi
Krisis politik di Negeri Sembilan kembali mencetuskan kebimbangan apabila muncul gerakan yang dilihat cuba meraih kuasa di tengah kemelut adat dan pentadbiran negeri.
Beberapa pihak dalam Umno negeri didakwa mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan semasa untuk mengubah landskap kuasa, sekali gus mengingatkan kepada episod Langkah Sheraton yang pernah mengubah kerajaan Persekutuan.
Gerakan itu dikaitkan dengan tokoh tertentu dalam Umno Negeri Sembilan yang dilihat mempunyai cita-cita politik lebih besar, termasuk untuk menduduki jawatan menteri besar. Pemerhati politik turut mengaitkan individu berkenaan dengan kem kepimpinan lama parti serta sokongan awal terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika krisis politik 2020.
Pengkritik berpendapat usaha tersebut tidak wajar kerana krisis yang berlaku melibatkan aspek adat dan perlembagaan negeri yang sepatutnya ditangani secara tertib.
Menurut mereka, sebarang percubaan untuk memanfaatkan keadaan itu bagi kepentingan politik hanya akan memburukkan keadaan dan mengheret negeri ke dalam ketidakstabilan.
“Isu adat ini sudah berlarutan sejak tahun lalu dan sepatutnya diselesaikan mengikut proses yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri, bukan dijadikan alat percaturan politik,” kata seorang pemerhati.
Langkah untuk menukar kepimpinan negeri juga dipersoalkan dari sudut keabsahan dan kebolehlaksanaan.
Ini kerana Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum ini bertitah supaya pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa sehingga jelas terdapat kehilangan majoriti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun, DUN Negeri Sembilan baru sahaja bersidang dan hanya dijangka bersidang semula beberapa bulan akan datang, sekali gus mengehadkan ruang untuk menguji sokongan secara rasmi.
Dalam tempoh tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat masih mempunyai ruang untuk menyusun semula pentadbiran negeri, termasuk kemungkinan pelarasan jawatan exco, peruntukan dan pelantikan di peringkat akar umbi.
Penganalisis berpandangan pendekatan ini lebih stabil berbanding usaha menukar kerajaan secara tergesa-gesa.
Pengkritik turut mempersoalkan rasional langkah politik sedemikian ketika rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi, termasuk kesan ketidaktentuan global.
Mereka berpendapat pertarungan kuasa hanya akan menambah beban kepada rakyat, selain mengganggu tumpuan kerajaan negeri dalam menangani isu kos sara hidup dan pembangunan.
“Kalau benar ada majoriti sekalipun, persoalannya apa yang boleh dicapai dalam tempoh singkat sebelum pilihan raya seterusnya?
“Akhirnya, rakyat yang menanggung kesan,” kata seorang lagi pemerhati.
Walaupun dakwaan dan kritikan terus memuncak, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak yang dinamakan, sementara kepimpinan pusat Barisan Nasional dan kerajaan Persekutuan setakat ini menegaskan keperluan menyelesaikan krisis Negeri Sembilan melalui saluran politik dan perundangan yang sah.
BACA JUGA: Isu Negeri Sembilan selesai ikut formula politik – Zahid