Akar umbi Umno N9 ‘mengamuk?
Kemelut politik di Negeri Sembilan mula memberi kesan kepada peringkat akar umbi apabila wujud gelombang ketidakpuasan dalam kalangan ahli Umno negeri susulan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tinjauan dalam beberapa kumpulan WhatsApp yang dikaitkan dengan ahli Umno mendapati ramai meluahkan kemarahan dan kekecewaan terhadap perkembangan terkini, khususnya implikasi terhadap kedudukan dan peluang yang sebelum ini dinikmati di bawah pentadbiran negeri.
Menurut beberapa sumber dalaman, antara rungutan utama ialah kehilangan akses kepada pelbagai lantikan dan kemudahan, termasuk jawatan pegawai khas, kedudukan dalam agensi kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta pelantikan ketua kampung.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai kehilangan peruntukan serta sumber pendapatan yang sebelum ini membantu menyara kehidupan keluarga.
“Ada yang bergantung kepada jawatan dan lantikan ini untuk kelangsungan hidup. Bila situasi berubah secara mendadak, sudah tentu timbul rasa tidak puas hati,” kata seorang ahli Umno peringkat bahagian yang enggan dinamakan.
Dalam masa sama, difahamkan wujud desakan daripada sebahagian akar umbi supaya kepimpinan Barisan Nasional Negeri Sembilan mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan kembali menyokong Menteri Besar.
Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan semula keadaan politik negeri serta memulihkan kedudukan akar umbi yang terjejas.
Perkembangan ini dikaitkan dengan apa yang digelar sebagai “Langkah Jalal”, iaitu percaturan politik yang mencetuskan perubahan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi mengenai hala tuju seterusnya, situasi tersebut jelas menunjukkan wujudnya perpecahan pandangan dalam kalangan ahli parti di peringkat bawah.
Setakat ini, kepimpinan Umno negeri belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung desakan tersebut.
Namun penganalisis berpendapat tekanan daripada akar umbi boleh menjadi faktor penting dalam menentukan langkah seterusnya parti, khususnya dalam usaha mengekalkan sokongan dan kestabilan dalaman.
Buat masa ini, perkembangan lanjut masih dinantikan sama ada desakan tersebut akan membawa kepada perubahan pendirian politik di Negeri Sembilan.