Perang ekonomi global dah mula, Iran atau Negara Teluk habis duit dulu?

Oleh DR WAN HASNI WAN SULAIMAN

Selepas D-Day, arah strategi Donald Trump semakin jelas: Bukan kemenangan pantas, tetapi “long standoff”.

Selat Hormuz disekat, tekanan dipanjangkan, dan sasaran akhirnya ialah memaksa Iran tunduk bukan di medan perang, tetapi di meja ekonomi.

Ini bukan lagi perang konvensional, tetapi “war of economic attrition”. Soalan sebenar ialah siapa kehabisan tunai dahulu di antara Iran dan negara-negara Teluk.

Naratif popular di Barat berbunyi mudah:

Iran hanya mampu bertahan sekitar 90 hari. Tanpa eksport minyak, negara itu akan muflis dan runtuh. Iran akan jatuh apabila tunai berhenti mengalir. Bayangkan ekonomi seperti sebuah syarikat besar. Ia tidak perlu untung setiap bulan untuk terus hidup.

Tetapi ia mesti ada cukup tunai untuk membayar import makanan dan tenaga, menstabilkan mata wang, dan memastikan bank terus berfungsi. Apabila aliran tunai terputus, semuanya berhenti — serentak.

Inilah naratif baru yang dibawa oleh Amerika Syarikat (AS) dalam konflik sekarang. Anda boleh lihat naratif ini di mana-mana, termasuk dalam laporan New York Times, Guardian dan lain-lain.

Andaian yang dibuat ialah sekatan Selat Hormuz bermaksud Iran kehilangan hampir keseluruhan aliran eksport minyaknya sekitar 1.8 hingga 2 juta tong sehari.

Itu bersamaan kira-kira US$4 hingga US$5 bilion sebulan yang hilang daripada sistem.

Cash burn

Pada masa yang sama, walaupun dalam mod krisis, Iran masih memerlukan sekitar US$4 hingga US$6 bilion sebulan untuk import asas: makanan, ubat, tenaga, dan input ekonomi kritikal.

Ertinya, setiap bulan tanpa eksport normal, ekonomi Iran berdepan tekanan tunai dalam skala berbilion dolar.

Ini yang dipanggil cash burn.

Namun, tekanan bukan hanya kewangan, ia juga fizikal. Minyak yang tidak boleh dieksport perlu disimpan.

Apabila storan penuh, pengeluaran mesti dikurangkan. Apabila pengeluaran dikurangkan, keupayaan untuk pulih juga terjejas.

Apa yang dimahukan oleh US ialah supaya Iran implodes economically dalam masa beberapa bulan mendatang. Ada yang mengatakan ia mengambil masa tiga bulan, ada pula yang mengatakan enam bulan.

Masalahnya, negara-negara Teluk juga menghadapi isu yang sama — cash burn. Di antara negara yang paling vulnerable ialah Bahrain, diikuti Kuwait.

Kedua-duanya sudah berada dalam keadaan yang sangat genting sekiranya tiada bantuan dari Amerika Syarikat (AS).

UAE kini meminta bantuan AS untuk pertukaran kecairan (liquidity swaps), manakala Arab Saudi pula menjadi penjual bersih rizab mereka yang kebanyakannya dalam bentuk aset dolar AS.

Semuanya bukan sebab mereka bankrap, tetapi kerana kecairan kewangan (financial liquidity) disebabkan daily cash burn.

Jadi, sekarang hipotesisnya ialah, untuk negara-negara Teluk, AS mesti memberi bantuan cash liquidity kepada mereka supaya mereka boleh bertahan, dan mereka boleh bertahan lebih lama daripada Iran.

Persoalannya, adakah hipotesis ini benar?

Saya tidak mempunyai semua fakta dan angka untuk disahkan serta dibuat analisis perbandingan.

Apa yang saya boleh katakan ialah Iran sebenarnya lebih tahan lasak daripada yang kita sangkakan.

Mengapa? Mereka telah hidup dalam keadaan serba mencabar selama lebih 20 tahun. Negara-negara Teluk, kecuali Arab Saudi, sebenarnya jauh lebih terdedah.

Sebagai contoh, Kuwait hampir lumpuh sepenuhnya. Bahrain pula, tanpa bantuan Arab Saudi, juga berdepan risiko yang sama.

UAE dan Qatar dilihat agak terdedah. Untuk menampung keperluan rakyat tempatan mungkin masih mampu, namun bagi menyokong semua pihak lain yang bergantung kepada mereka terutamanya pekerja asing dan kontraktor yang menjadi tulang belakang ekonomi, keupayaannya amat diragui.

Arab Saudi pula berada dalam situasi berbeza. Negara itu masih mengekalkan ekonomi yang lebih tertutup dan baru dalam fasa untuk dibuka.

Pada masa sama, komitmennya jauh lebih besar berbanding UAE, dianggarkan sekitar tiga hingga lima kali ganda.

Buat masa ini, segala pengumuman besar mengenai pelaburan bertrilion dolar dalam kecerdasan buatan (AI) dan revolusi digital boleh dianggap tidak lagi menjadi keutamaan.

Begitu juga dengan pelaburan mereka ke AS, yang kini semakin hilang relevan.

Ini kerana keadaan telah berubah menjadi perang ekonomi, dan penentu utamanya ialah siapa yang mampu bertahan dari segi kewangan.

Kehancuran ekonomi

Berbalik kepada “creative destruction” yang saya sebutkan sebelum ini. Sekarang fokus mengarah kepada “kehancuran ekonomi”. Siapa boleh hancur terlebih dahulu?

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ekonomi Amerika Syarikat, Eropah, India dan China akan terkesan dalam situasi ini.

Begitu juga persoalannya terhadap Asia Tenggara dan Malaysia, sejauh mana ekonomi rantau ini akan menerima impak sekiranya hipotesis yang saya sebutkan adalah tepat.

Cash burn Malaysia, untuk subsidi minyak sahaja, mencecah RM7 bilion sebulan. Setakat manakah fiskal negara boleh bertahan? Berapa lamakah kita boleh bertahan?

Dalam dunia kewangan moden, kekuatan sebenar bukan pada saiz ekonomi, tetapi pada keupayaan mengekalkan aliran tunai apabila sistem terganggu.

Perang ini mungkin tidak dimenangi dengan peluru terakhir. Ia ditentukan oleh aliran tunai terakhir.

BACA JUGA ‘Apa sebenarnya Jalal mahu?’, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan ini teruk kena kecam netizen