Wanita PKR ‘meletup’ ’: Nasihat jangan khianat mandat
Wanita PKR mengecam tindakan Umno- Barisan Nasional Negeri Sembilan yang didakwa “mengkhianati mandat kestabilan” ketika negara berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
Dalam kenyataan media hari ini, sayap wanita parti itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai bukti keutamaan sempit politik yang sanggup mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa.
“Ketika rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi, tindakan ini jelas menunjukkan keutamaan sempit pihak terbabit yang memilih permainan kuasa berbanding kestabilan,” menurut kenyataan tersebut.
Wanita PKR turut menegaskan bahawa tindakan berkenaan bukan sekadar pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan, malah terhadap rakyat yang memerlukan suasana politik stabil untuk menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Mereka menegaskan pendirian untuk terus bersama Pakatan Harapan dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik, selain menekankan keutamaan melindungi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, kenyataan itu turut menggariskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan peranan institusi Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada kedaulatan Perlembagaan.