Dokumen dah siap, tinggal keberanian – ZRA rayu PMX
Peserta Sumud Flotilla, Zainal Rashid Ahmad(ZRA) merayu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar mengecam, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel semakin memuncak, dengan cadangan agar isu hukuman mati terhadap tahanan Palestin dibawa ke mahkamah antarabangsa.
Cadangan itu merujuk kepada penggunaan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai platform untuk mencabar undang-undang yang didakwa membolehkan hukuman gantung dikenakan ke atas tahanan Palestin, yang dilihat bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan Konvensyen Geneva.
Menurut Zainal sumber yang terlibat dalam perbincangan tersebut, asas kes berkenaan bukan sahaja kukuh, malah telah pun disiapkan dari sudut teknikal.
“Ini bukan lagi soal sama ada kita boleh atau tidak. Dari segi undang-undang, kes ini sudah lengkap dokumen ada, bukti ada, penghujahan juga sudah tersedia,” kata Zainal.
Difahamkan, usaha tersebut turut mendapat sokongan pakar undang-undang antarabangsa, termasuk kumpulan yang telah menyatakan komitmen untuk membantu membawa kes itu ke peringkat global.
Dalam masa sama, Malaysia dilihat mempunyai kedudukan strategik untuk mengetuai tindakan ini, khususnya melalui platform Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan potensi sokongan meluas daripada negara-negara anggota serta beberapa negara Eropah yang pro-Palestin.
“Jika Malaysia tampil sebagai negara pendakwa, kita bukan sekadar mencabar undang-undang itu, tetapi mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat,”katanya.
Namun, di sebalik kesiapsiagaan tersebut, persoalan utama yang kini dibangkitkan bukan lagi berkisar kepada aspek teknikal atau undang-undang, tetapi kepada kemahuan politik.
“Kita berada dalam keadaan sangat bersedia untuk menang kes ini. Semua sudah tersedia yang tinggal hanya satu perkara, keberanian,”katanya.
Menurut Zainal status Anwar dilihat berada pada kedudukan penting untuk menentukan sama ada Malaysia akan melangkah ke hadapan sebagai negara pendakwa.
Menurut pandangan tersebut, langkah ini bukan sahaja berkaitan politik luar negara, tetapi melibatkan isu kemanusiaan yang lebih besar.
“Ini bukan sekadar soal diplomasi. Ini soal nyawa. Malaysia ada peluang untuk memimpin dan dunia akan melihat siapa yang berani,” katanya.
Pemerhati juga berpendapat tindakan sedemikian berpotensi mengubah persepsi terhadap peranan negara Islam dalam isu Palestin, selain mengangkat semula kredibiliti OIC yang sering dikritik kerana kurang berfungsi secara efektif.
Dalam konteks ini, Malaysia dilihat berada di persimpangan penting sama ada kekal dengan pendekatan retorik, atau melangkah lebih jauh dengan tindakan undang-undang yang boleh memberi kesan di peringkat antarabangsa.
Akhirnya, seperti yang ditegaskan oleh Zainal, semua yang diperlukan kini bukan lagi bukti atau sokongan tetapi keberanian untuk bertindak.