Jomo : Retorik ‘damai’ AS, tindakan tetap agresif

Strategi Pertahanan Nasional (NDS) 2026 Amerika Syarikat mencetuskan persoalan besar apabila dilihat bercanggah antara naratif rasmi dan tindakan sebenar di pentas global.

Dalam analisis oleh Jomo Kwame Sundaram dan Nurina Malek, dokumen setebal 34 halaman itu mendakwa membawa perubahan besar berteraskan “America First” serta menjanjikan penamatan pendekatan lama.

Namun, menurut mereka, kandungan dokumen tersebut sarat dengan retorik umum dan mengelak daripada memperincikan penglibatan ketenteraan, sedangkan realiti menunjukkan Washington terus aktif menggunakan kekuatan tentera.

Dalam tempoh awal pentadbiran baharu sahaja, AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas beberapa negara, manakala konflik melibatkan Israel dan Iran kembali memuncak tanpa penjelasan jelas dalam dokumen rasmi.

Di Eropah, NDS memberi isyarat pengurangan peranan langsung AS, sambil menekan sekutu NATO untuk mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap pertahanan sendiri. Langkah itu menimbulkan kebimbangan mengenai “vakum keselamatan”, khususnya dalam menghadapi Rusia.

Pada masa sama, Washington tetap mahu mengekalkan pengaruh strategik, termasuk dalam isu akses ke kawasan penting seperti Greenland dan Terusan Panama, sekali gus memperlihatkan pendekatan yang dilihat tidak konsisten.

Di hemisfera Barat pula, dokumen tersebut menegaskan benua Amerika sebagai kawasan kepentingan utama AS, dengan amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak sehaluan mencerminkan kecenderungan mengembalikan pendekatan geopolitik lama.

Pendekatan terhadap China turut berubah ketara. Jika sebelum ini dianggap ancaman utama, kini Beijing dilihat sebagai kuasa yang perlu “diurus”, dengan penekanan kepada hubungan stabil dan komunikasi ketenteraan.

Namun begitu, perubahan nada ini tidak disertai jaminan keselamatan jelas kepada Taiwan, dan pada masa sama sekutu di rantau Asia-Pasifik diminta memikul tanggungjawab lebih besar dalam menghadapi ancaman serantau.

Secara keseluruhan, strategi baharu ini juga memperlihatkan tekanan berterusan terhadap sekutu untuk meningkatkan sumbangan kewangan bagi pertahanan selari dengan pendekatan Presiden Donald Trump yang mahu mengurangkan kos global AS.

Jomo dan Nurina menyimpulkan bahawa percanggahan antara dokumen rasmi dan tindakan sebenar menunjukkan kemungkinan dasar luar AS dipacu oleh pertimbangan lain yang tidak dinyatakan secara terbuka.

“Layanan Trump terhadap sekutu… menunjukkan bahawa kedua-dua dokumen tersebut memberikan panduan yang lemah untuk memahami  apatah lagi meramalkan  dasar AS di luar negara,” menurut analisis itu.

Mereka berpandangan keadaan ini menyukarkan pemerhati antarabangsa untuk menilai hala tuju sebenar Washington, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada strategi tersebut sekadar retorik  atau sengaja mengelirukan.