“Kalau bukan British, AS cakap Perancis” – Raja Charles ‘troll’ Trump di White House

Raja Britain, King Charles III, mencuri perhatian apabila secara berseloroh menyindir Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam satu majlis makan malam rasmi di Rumah Putih.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), Charles membuat jenaka itu ketika kedua-dua pemimpin bertukar gurauan dalam suasana santai, namun sarat dengan mesej sejarah.

“Kamu baru-baru ini kata, Tuan Presiden, bahawa jika bukan kerana AS, negara-negara Eropah akan bercakap dalam bahasa Jerman. Saya katakan bahawa, jika bukan kerana kami, kamu akan bercakap dalam bahasa Perancis,” kata baginda, disambut ketawa hadirin.

Kenyataan itu merujuk kepada ucapan Trump sebelum ini di World Economic Forum Davos pada Januari, di mana beliau mendakwa tanpa peranan AS dalam Perang Dunia Kedua, Eropah akan dikuasai Jerman.

Namun, nada gurauan Charles dilihat sebagai usaha mengekalkan hubungan mesra antara London dan Washington, walaupun wujud ketegangan berhubung isu geopolitik semasa, termasuk konflik di Timur Tengah.

Baginda turut menyindir perubahan fizikal di Rumah Putih, merujuk kepada pengubahsuaian besar yang dikaitkan dengan Trump.

“Saya perasan ‘pelarasan semula’ di Sayap Timur. Kami orang British juga pernah ‘membangunkan semula’ Rumah Putih pada tahun 1814,” katanya, merujuk kepada peristiwa Pembakaran White House 1814.

Tidak terhenti di situ, Charles juga berseloroh bahawa majlis makan malam tersebut merupakan “penambahbaikan besar” berbanding Boston Tea Party, yang menyaksikan penjajah Amerika membuang teh British ke laut.

Trump, yang terkenal sebagai peminat keluarga diraja British, membalas dalam nada lebih ringan dengan memuji ucapan Charles di Kongres.

“Saya ingin ucap tahniah kepada Charles. Dia berjaya buat ahli Demokrat berdiri – saya tak pernah berjaya buat begitu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Charles turut menyampaikan hadiah simbolik kepada Trump berupa loceng daripada kapal selam British, HMS Trump, yang dilancarkan semasa Perang Dunia Kedua.

“Jika kamu perlu menghubungi kami, cuma bunyikan loceng ini,” kata baginda, sekali lagi mencuit perhatian hadirin.

Pertemuan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh “hubungan istimewa” antara United Kingdom dan Amerika Syarikat, walaupun kedua-dua negara berdepan beberapa perbezaan dasar di pentas antarabangsa.