Penipuan ‘online’ ke tuntutan rugi: Siri KPDN dedah realiti sebenar pengguna

Isu penipuan dalam talian, produk mengelirukan dan kesukaran mendapatkan tuntutan ganti rugi terus menghantui pengguna di Malaysia, sekali gus mencetuskan keperluan kepada pendedahan lebih menyeluruh mengenai hak dan perlindungan pengguna.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tampil dengan satu siri penerangan yang bertujuan mengupas pelbagai isu utama berkaitan pengguna, termasuk modus operandi penipuan digital, amalan perdagangan tidak beretika serta saluran tuntutan yang tersedia.

Menurut kementerian itu, siri 30 episod itu akan mula bersiaran di medium rasmi KPDN dan akaun media sosialnya, inisiatif berkenaan memberi fokus kepada pendidikan pengguna agar lebih celik terhadap hak mereka, selain memahami proses membuat aduan dan tuntutan secara lebih berkesan.

“Masih ramai pengguna yang tidak mengetahui saluran rasmi untuk mendapatkan keadilan apabila berdepan penipuan atau kerugian akibat produk dan perkhidmatan yang mengelirukan,” menurut kenyataan itu.

KPDN menjelaskan, antara topik yang diketengahkan termasuk kaedah mengenal pasti penipuan dalam talian, tanggungjawab peniaga dalam mematuhi undang-undang serta peranan tribunal dalam menyelesaikan pertikaian pengguna.

Selain itu, kementerian turut menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan platform sedia ada seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi menuntut ganti rugi, khususnya bagi kes melibatkan jumlah tuntutan yang lebih kecil tetapi memberi kesan besar kepada kehidupan seharian.

Dalam masa sama, KPDN menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap peniaga yang melanggar peraturan, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap aktiviti penipuan dan pengiklanan palsu.

Langkah itu dilihat penting dalam memastikan ekosistem perdagangan yang lebih telus dan adil, selain memulihkan keyakinan pengguna terhadap pasaran tempatan yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor e-dagang.

Orang ramai juga disaran untuk sentiasa berwaspada ketika membuat pembelian dalam talian dan tidak terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai, selain menyemak kesahihan penjual sebelum membuat sebarang transaksi.