AirTrunk tambah RM12 bilion pelaburan, perkukuh Malaysia sebagai hab digital serantau

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital serantau apabila syarikat platform pusat data hiperskala, AirTrunk, komited menambah pelaburan sebanyak RM12 bilion lagi pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan AirTrunk di Malaysia meningkat kepada RM27 bilion.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam sesi kunjungan hormat oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasinya semalam.

“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan pembinaan pusat data AirTrunk di Johor serta usaha memperkasa rangka kerja lokalisasi bagi meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri pusat data.

Anwar turut menegaskan bahawa keputusan pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik dalam sektor teknologi, khususnya ketika kerajaan giat memperkemas dasar serta meningkatkan kecekapan pembangunan dan operasi pusat data.

BACA JUGA UMNO kekal dalam kerajaan tapi desak MB undur, apa sebenarnya permainan ini?