SUKMA 2026 diteruskan, fokus penjimatan secara berhemah

FOTO BERITA: Sidang Media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 30hb April 2026 (Khamis)

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dengan pendekatan lebih berhemah, selaras dengan situasi ekonomi semasa dan keperluan pembangunan atlet negara. Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA yang dipengerusikannya hari ini. Menurut beliau, mesyuarat itu menghimpunkan wakil Exco sukan negeri, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM) serta pihak berkepentingan lain bagi membincangkan hala tuju temasya berkenaan susulan beberapa perkembangan semasa.

“Pada 9 April lalu, kita telah bersetuju untuk meneruskan SUKMA Selangor 2026. Namun, terdapat beberapa faktor baharu termasuk ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik antarabangsa yang perlu diambil kira,” katanya dalam sidang media. Beliau turut menjelaskan bahawa cadangan penangguhan sebelum ini telah dizahirkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu.

Bagaimanapun, selepas perbincangan lanjut termasuk sesi menghadap antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama Sultan Selangor, baginda telah berkenan agar temasya tersebut diteruskan. “Keputusan ini mengambil kira kepentingan atlet, khususnya had umur penyertaan 21 tahun. Jika ditangguhkan, ramai atlet akan terlepas peluang beraksi,” jelasnya. Tambah beliau, SUKMA juga merupakan platform penting dalam persiapan atlet menghadapi temasya lebih besar seperti Sukan SEA 2027.

Sehubungan itu, kerajaan dan penganjur bersetuju untuk melaksanakan langkah penjimatan tanpa menjejaskan matlamat utama penganjuran. “Tuanku menitahkan supaya langkah penjimatan dilaksanakan, termasuk mengelakkan penganjuran secara besar-besaran, selari dengan pendekatan kerajaan ketika ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah yang telah membentangkan pelan pelaksanaan berhemah dalam mesyuarat tersebut. “Saya menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Selangor atas perkenan dan komitmen tinggi terhadap pembangunan sukan serta atlet negara,” katanya.

Sementara itu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi berkata, keputusan meneruskan temasya itu dicapai secara konsensus bersama semua negeri selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Istana Selangor dan kerajaan Persekutuan. Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari atas sokongan terhadap Selangor sebagai tuan rumah, serta menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memperkenankan penganjuran SUKMA dengan beberapa garis panduan penting.

“Titah Tuanku jelas menekankan supaya penganjuran dilaksanakan secara berhemah, mengambil kira situasi semasa ekonomi, namun pada masa sama tidak menjejaskan matlamat utama SUKMA sebagai platform pembangunan atlet,” katanya dalam sidang media di Lobi Menara KBS. Menurut beliau, pendekatan penjimatan akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk mengurangkan skala acara bersifat seremonial seperti majlis perasmian dan penutup.

Menurut beliau, pendekatan penjimatan akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk mengurangkan skala acara bersifat seremonial seperti majlis perasmian dan penutup. “Kita mungkin tidak dapat melaksanakan SUKMA semeriah penganjuran terdahulu, namun yang penting adalah memastikan temasya ini terus memberi manfaat kepada atlet, bukan untuk meraikan ahli politik,” tegasnya.

“Kita mungkin tidak dapat melaksanakan SUKMA semeriah penganjuran terdahulu, namun yang penting adalah memastikan temasya ini terus memberi manfaat kepada atlet, bukan untuk meraikan ahli politik,” tegasnya. Dalam pada itu, beliau memaklumkan peruntukan asal sebanyak RM100 juta yang disediakan kerajaan negeri akan dikurangkan hampir separuh, dengan anggaran kos baharu sekitar RM40 juta hingga RM50 juta. Sebaliknya, majlis perasmian dan penutup akan diadakan dalam bentuk lebih sederhana dan simbolik di lokasi alternatif yang akan diumumkan kelak.

Najwan turut menegaskan bahawa pengurangan kos tidak akan menjejaskan standard teknikal pertandingan mahupun prestasi atlet. “Kita akan pastikan semua acara sukan dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan. Penjimatan tidak boleh menjadi alasan untuk menurunkan kualiti penganjuran,” katanya. Tambah beliau, Selangor tidak akan membina infrastruktur baharu sebaliknya memanfaatkan kemudahan sedia ada dengan kerja naik taraf yang juga memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Dari segi pengurusan sumber manusia, jumlah sukarelawan dijangka dikurangkan secara signifikan daripada lebih 30,000 pendaftaran kepada sekitar 5,000 orang berdasarkan keperluan sebenar di venue pertandingan. Kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara bagi meneroka perkongsian kemudahan sukan bagi mengurangkan kos sewaan.
