DOF sasar akuakultur lebih murah, hasil berganda

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menggiatkan penggunaan teknologi bioflok dalam sektor akuakultur negara, dilihat berpotensi menurunkan kos operasi sambil melonjakkan pengeluaran hasil ternakan.

Usaha itu diperkukuh menerusi lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Isham Ishak ke projek ternakan ikan berteknologi bioflok di Bestari Jaya, Rawang hari ini.

Lawatan tersebut melibatkan projek Ladang Bioflok Fasa 2 milik ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd., yang berjaya mengaplikasikan teknologi itu secara komersial dalam ternakan ikan air tawar.

Teknologi bioflok berasaskan konsep kitar semula sisa ternakan, di mana bakteria menukar ammonia daripada najis dan lebihan makanan kepada protein mikroba yang kemudiannya menjadi makanan semula jadi ikan.

Kaedah ini bukan sahaja mesra alam, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada makanan komersial antara 20 hingga 30 peratus.

Sehingga 2025, teknologi ini merekodkan pengeluaran sekitar 1,500 tan metrik bernilai kira-kira RM15 juta, dengan lebih 80 pengusaha terlibat di seluruh negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Adnan Hussain berkata, potensi bioflok sangat besar dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Teknologi ini membolehkan ternakan berkepadatan tinggi di kawasan terhad, sesuai untuk pertanian bandar, selain mengurangkan pencemaran kerana pelepasan sisa air minimum,” katanya.

Di ladang yang dilawati, kapasiti pengeluaran meningkat daripada 12 tan metrik pada 2023 kepada 144 tan metrik pada 2025, mencerminkan lonjakan produktiviti ketara.

Kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif termasuk Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000, pembiayaan melalui Agrobank serta skim sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana.

Selain itu, penggunaan teknologi seperti tenaga solar hibrid dan Internet of Things (IoT) bagi pemantauan kualiti air turut diperkenalkan bagi memastikan operasi lebih efisien dan mampan.

Orang ramai yang berminat digalakkan mendapatkan latihan di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Jitra, Kedah yang menjadi pusat rujukan utama teknologi bioflok di negara ini.

Langkah ini dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi cabaran kos dan bekalan global.