Buang sampah merata? 105 pesalah ‘kena sapu’ jalan satu Malaysia

Seramai 105 pesalah di seluruh negara diperintah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dalam operasi serentak melibatkan tujuh negeri hari ini.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, daripada jumlah itu, 59 merupakan pesalah baharu manakala 46 lagi adalah pesalah berulang.

Program berkenaan dilaksanakan di beberapa lokasi utama di Pahang, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Di Putrajaya, empat pesalah menjalani kerja pembersihan di Presint 2 di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata pelaksanaan PKM bukan sekadar hukuman semata-mata.

“PKM bukan sekadar hukuman, sebaliknya instrumen penting dalam membentuk kesedaran dan tanggungjawab sivik masyarakat terhadap kebersihan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan bahawa sejak 1 Januari lalu, seramai 130 penjawat awam telah dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK), sekali gus menunjukkan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebersihan di pelbagai peringkat.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, SWCorp turut memaklumkan bahawa seramai 42 pegawai baharu akan ditambah, dengan mereka dijadual melapor diri pada 4 Mei ini.