KPKT sahut seruan berjimat, potong belanja RM64 juta
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong langkah kerajaan menyusun semula perbelanjaan RM10 bilion, dengan komitmen melaksanakan penjimatan sebanyak RM64.4 juta.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata langkah itu selari dengan usaha Kementerian Kewangan Malaysia untuk memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Menurutnya, peningkatan mendadak subsidi kerajaan menjadi antara faktor utama keperluan rasionalisasi perbelanjaan.
“Jumlah subsidi dijangka melebihi RM58 bilion tahun ini berbanding RM15 bilion dalam anggaran asal sebelum krisis tenaga global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam Belanjawan 2026, KPKT diperuntukkan RM2.07 bilion bagi perbelanjaan mengurus, namun kementerian itu bersedia mencari kaedah penjimatan seperti dicadangkan kerajaan.
Nga turut menjelaskan bahawa konflik berterusan di rantau Asia Barat telah menjejaskan rantaian bekalan minyak global, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah dan memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Langkah ini penting supaya kerajaan mempunyai ruang kewangan mencukupi untuk membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi,” katanya.
Beliau memberi jaminan langkah penjimatan itu tidak akan menjejaskan projek pembangunan di bawah perbelanjaan pembangunan (DE), dan agenda pembangunan akan terus berjalan.
Sebagai sebahagian usaha penjimatan, KPKT akan menangguhkan program tidak wajib seperti seminar dan bengkel, mengecilkan skala program tertentu serta mengehadkan lawatan rasmi ke luar negara hanya kepada urusan penting.