Angkuhnya AS sokong Israel pintas bantuan Gaza, sekutu Eropah pula diarah jangan bantu

Selepas rejim Israel memintas flotila bantuan ke Gaza, Amerika Syarikat (AS) menyokong tindakan biadab tersebut malah memberi amaran kepada sekutu Eropah supaya tidak menyokong ‘gimik’ itu.

Memetik AFP, Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, berkata selaras dengan undang-undang antarabangsa, pelabuhan adalah perairan dalaman di mana negara pesisir mempunyai kedaulatan penuh.

Sokongan AS itu dikeluarkan selepas penganjur flotila menyatakan 211 individu ditahan oleh Israel, termasuk seorang Ahli Majlis Bandar Paris, di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete, Greece.

“AS menjangkakan semua sekutu kami… mengambil tindakan tegas terhadap gimik politik yang tidak bermakna ini dengan menafikan akses pelabuhan, tempat berlabuh, pelepasan dan bekalan bahan api kepada kapal yang terbabit dalam flotila.

“AS akan mempertimbangkan penggunaan segala saluran yang ada untuk mengenakan tindakan terhadap pihak yang menyokong flotila pro-Hamas ini.

“AS juga akan menyokong tindakan undang-undang sekutu kami terhadap mereka,” kata Pigott.

Mengecam keras

Sementara itu, Sepanyol yang sering bertelagah dengan Presiden, AS Donald Trump, mengecam keras tindakan Israel terhadap flotila itu dan memanggil wakil diplomatik Israel di Madrid.

Terdahulu, tentera rejim Israel bertindak memintas dan menceroboh 22 kapal misi kemanusiaan ke Gaza ketika berada di perairan Mediterranean.

Enam daripada 22 kapal terbabit dinaiki 10 rakyat Malaysia.

Mereka ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) serta Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terbabit ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II).

BACA JUGA Solat hajat untuk Sultan Mizan hari ini