Elaun Pasca Cuti Bersalin antara tiga berita gembira diumum PM sempena Hari Pekerja

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tiga pengumuman penting sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di Bukit Jalil hari ini.

Pertama, cadangan pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.

Kerajaan komited untuk memperkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Walau bagaimanapun, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita menunjukkan trend pengunduran kerjaya (career exit) yang kritikal.

KPTB merosot drastik daripada tahap optimum 78.9 peratus bagi kategori umur 25 hingga 29 tahun kepada 68.6 peratus bagi umur 35 hingga 39 tahun.

Komitmen maternity dipercayai merupakan salah satu faktor penyumbang kepada penurunan ini.

Sehubungan itu, sebagai langkah progresif ke hadapan, kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Elaun tersebut merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari (sebulan) yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.

Ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800].

Faedah ini dicadangkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara one-off.

Dua lagi pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Pekerja kali ini adalah cadangan peluasan perlindungan Perkeso kepada warganegara Malaysia di luar negara serta Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026.

BACA JUGA Angkuhnya AS sokong Israel pintas bantuan Gaza, sekutu Eropah pula diarah jangan bantu