Enam NGO buat laporan polis, desak tindakan tegas terhadap penghina Sultan

FITO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Tok Rasyid Empayar Dengkil dan NGO-NGO berkenaan isu menghina Sultan di IPD Sepang, Selangor. 1hb Mei 2026 (Jumaat)

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis berhubung isu penghinaan terhadap institusi kesultanan dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini. Gabungan NGO yang terlibat termasuk Empire Dengkil, PEKIDA Sepang, ARIF Sepang, PST Langkah Timah, Pekima dan KBA, menyatakan pendirian tegas mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta menuntut tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Wakil NGO, Rasyid Ab Rani yang juga bekas Ketua Kampung Dengkil berkata, laporan polis dibuat sebagai tanda tanggungjawab rakyat dalam mempertahankan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara seperti termaktub dalam Rukun Negara. “Sebagai rakyat Selangor, kami terpanggil untuk membuat laporan ini. Kesetiaan kepada raja dan negara bukan sekadar slogan, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan apabila institusi kesultanan dihina,” katanya.

Menurut beliau, Sultan bukan sahaja simbol perpaduan, malah berperanan sebagai ketua agama Islam yang perlu dihormati oleh seluruh rakyat, khususnya umat Islam. Tambahnya, kenyataan dan titah Sultan berhubung isu tertentu termasuk penternakan babi sebelum ini dibuat demi kepentingan rakyat dan perlu dilihat secara menyeluruh tanpa prejudis.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PEKIDA Sepang, Sabudin Jantan, menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas agar insiden penghinaan terhadap institusi diraja tidak berulang. “Kami berharap undang-undang sedia ada dapat dikuatkuasakan dengan lebih tegas. Jika perkara ini dibiarkan, ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara,” katanya.

Dalam sidang media sama, wakil NGO turut menggesa lebih banyak pertubuhan tampil membuat laporan serta bekerjasama mempertahankan institusi kesultanan. Difahamkan, setakat ini sekurang-kurangnya enam laporan polis telah dibuat oleh gabungan NGO terlibat dan pihak lain sebelum ini berhubung isu sama. NGO berkenaan turut menyeru masyarakat agar tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta sentiasa menghormati institusi diraja demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.