PM dekati denyut nadi rakyat dalam suasana sederhana tapi penuh makna

Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti kelazimannya mengambil keberkatan hari Jumaat dengan menyantuni rakyat secara lebih santai.

Beliau berkesempatan beramah mesra bersama pengunjung sekitar gerai berdekatan Masjid Nurul Iman di Rawang, Selangor sebelum menunaikan solat Jumaat hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, beliau singgah menjamu selera di gerai tersebut bagi mendekatkan diri dengan denyut nadi rakyat dalam suasana yang sederhana namun penuh makna.

Menerusi laman sosial rasmi beliau, masyarakat setempat kelihatan teruja mengabadikan gambar kenangan bersama Perdana Menteri yang juga tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh di dunia itu.

Menyentuh pengisian khutbah pula, Anwar berpendapat umat Islam diingatkan supaya melihat rezeki bukan hanya dari sudut material, tetapi sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Khutbah hari ini mengingatkan kita bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang benar, amanah dan ihsan.

“Ia menuntut kita melihat rezeki bukan sekadar hasil material, tetapi sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, memakmurkan kehidupan, serta memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Dunia puji ekonomi Malaysia berdaya tahan tapi pembangkang sibuk cerca