AMANAH gesa kerajaan kaji semula Festival Muzik Air Rain Rave
AMANAH menggesa kerajaan meneliti semula kewajaran penganjuran Festival Muzik Air ‘Rain Rave 2026’ yang didakwa tidak selari dengan budaya serta norma masyarakat Malaysia.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, konsep festival berkenaan yang diimport dari luar dilihat tidak mencerminkan budaya tradisional dan norma asal negara ini.
Menurutnya, rakaman acara yang tular di media sosial menunjukkan suasana festival berkenaan seolah-olah menyerupai hiburan kelab malam yang dianjurkan di kawasan terbuka, sekali gus mencerminkan pengaruh budaya asing.
“AMANAH berpandangan terdapat sebahagian acara festival ini yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pembinaan anak muda yang mampan dan berdaya tahan selari dengan konsep Malaysia Madani,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Faiz berkata kerajaan wajar menilai semula konsep serta kandungan festival tersebut bagi memastikan ia selaras dengan nilai tempatan tanpa menjejaskan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Festival berkenaan dilaporkan dianjurkan di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu, Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.
Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah merasmikan Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu negara.
King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, penganjuran festival itu adalah sempena Hari Pekerja supaya pekerja dapat merehatkan diri.
Malah, pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berkata, orang ramai tidak perlu hadir ke festival berkenaan kalau tidak suka.
BACA JUGA Dunia puji ekonomi Malaysia berdaya tahan tapi pembangkang sibuk cerca