MHO dedah kes mangsa bawah umur, OKU dan warga emas terjerat Ahlomg

FOTO BERITA: Sidang Media oleh MHO mengenai mangsa bawah umur dan warga emas menjadi mangsa ahlong di pejabat MHO Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 1hb May 2026 (Jumaat)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan trend membimbangkan apabila golongan rentan termasuk bawah umur, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas kini semakin menjadi sasaran sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong. Menurut Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim, pihaknya menerima beberapa aduan melibatkan mangsa daripada latar belakang berbeza, namun berkongsi nasib sama apabila terperangkap dengan hutang melampau serta gangguan berterusan daripada pemberi pinjaman.

“Di hadapan kita hari ini ada tiga kes berbeza, termasuk seorang OKU mental, seorang wakil kepada mangsa bawah umur, dan seorang warga emas. Ini menunjukkan sindiket ahlong tidak lagi memilih mangsa, malah menyasarkan golongan paling lemah dalam masyarakat,” katanya.

Salah seorang mangsa, Muhammad Ashraf Abdul Aziz, 29, yang merupakan OKU mental mendakwa pinjaman asal sekitar RM3,800 kini meningkat kepada lebih RM17,000 akibat caj dan tekanan berterusan daripada pihak pemberi pinjaman. Menurutnya, beliau membuat pinjaman tersebut pada Julai tahun lalu bagi menyelesaikan hutang peribadi, namun terjerat dengan terma yang tidak jelas serta potongan caj tersembunyi.

“Saya hanya terima RM3,800 tetapi diminta bayar berdasarkan jumlah lebih besar. Saya sudah bayar hampir RM4,900 dalam tempoh tujuh bulan, namun baki masih RM12,500,” katanya. Ashraf turut mendakwa berdepan layanan tidak adil ketika membuat laporan polis, termasuk dimarahi pegawai penyiasat dan tiada perkembangan kes selepas lebih 20 hari laporan dibuat.

Satu kes membabitkan remaja bawah umur yang terjerat hutang ahlong sehingga mencecah RM20,000 selepas hanya meminjam RM500 didedahkan dalam sidang media. Kes tersebut diwakili oleh bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Chai, yang tampil bagi pihak remaja perempuan berusia 17 tahun itu, dengan identiti dirahsiakan atas faktor keselamatan dan sensitiviti. Menurut wakil MHO yang mangsa, masih bersekolah langsung tidak memahami konsep pinjaman tidak berlesen apabila tertarik dengan satu iklan pinjaman wang di media sosial.

“Mangsa nampak iklan pinjaman dan ingat ia seperti pinjaman biasa. Dia pinjam RM500 sahaja untuk keperluan sekolah. Tetapi selepas beberapa hari, dia diminta membayar RM2,000,” katanya. Beliau berkata, mangsa yang panik kemudian menerima tawaran pinjaman lain untuk melangsaikan hutang pertama, namun tindakan itu menyebabkan hutangnya bertambah dan ‘bertindih’ sehingga melibatkan kira-kira 13 pemberi pinjaman berbeza.

“Akhirnya jumlah keseluruhan yang dituntut meningkat sehingga RM20,000. Ini sangat tidak munasabah bagi seorang pelajar yang langsung tidak faham risiko pinjaman seperti ini,” katanya lagi. Lebih membimbangkan, mangsa turut didakwa menerima ugutan serius termasuk ancaman fizikal daripada sindiket ahlong, yang menyebabkan tekanan emosi dan ketakutan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga.

MHO mempersoalkan bagaimana iklan pinjaman wang tidak berlesen boleh sampai kepada pengguna bawah umur di platform media sosial. “Sepatutnya iklan seperti ini disasarkan kepada mereka berumur 18 tahun ke atas, tetapi remaja bawah umur pun boleh nampak dan akses. Ini sangat membimbangkan,” katanya. Selain itu, MHO turut mendedahkan kewujudan iklan berkaitan aktiviti jenayah seperti khidmat menyimbah cat, membakar premis dan ugutan, yang didakwa dipromosikan secara terbuka di platform dalam talian lengkap dengan pautan dan nombor telefon.

“Ini bukan sekadar pinjaman haram, tetapi sudah melibatkan rangkaian jenayah terancang. Kita harap pihak berkuasa ambil tindakan segera untuk menurunkan iklan-iklan seperti ini,” tegasnya. Menurut MHO, kes tersebut bukan kes terpencil dan dipercayai ramai lagi mangsa bawah umur yang terjerat dengan modus operandi sama, namun tidak tampil kerana takut atau malu. Sehubungan itu, MHO menyeru ibu bapa agar lebih peka terhadap aktiviti dalam talian anak-anak serta menggalakkan mangsa tampil mendapatkan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Seorang warga emas dari Perak, dikenali sebagai Connie, tampil mendedahkan pengalaman pahit apabila didakwa menjadi mangsa keganasan dan penipuan sindiket ahlong sehingga identitinya disalahgunakan untuk aktiviti mencurigakan. Menurut wakil MHO selaku pengurus kes, pihaknya menerima panggilan awal daripada suami mangsa yang memaklumkan situasi membimbangkan melibatkan isterinya, termasuk dakwaan dipukul oleh pihak pemberi pinjaman.

“Lebih menyedihkan, pasangan ini merupakan warga emas yang tidak lagi mampu bekerja dan bergantung kepada bantuan kerajaan, namun akaun bank mereka turut disenaraihitamkan sehingga menyukarkan kelangsungan hidup,” katanya. Tambah beliau, keadaan menjadi lebih terdesak apabila suami Connie dilaporkan menghidap kanser tahap empat, menyebabkan pasangan itu terpaksa membuat pinjaman sebanyak RM6,000 bagi menampung kos perubatan.

Namun, pinjaman tersebut datang dengan syarat yang meragukan, termasuk kadar faedah tinggi atau diminta melakukan “kerja” yang tidak dijelaskan secara terperinci. “Mereka diarahkan menandatangani dokumen dan dibawa ke beberapa lokasi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar alamat pada kad pengenalan tanpa memahami tujuan sebenar,” katanya.

Hasil siasatan awal MHO mendapati identiti pasangan itu dipercayai telah digunakan untuk mendaftarkan beberapa syarikat sendirian berhad serta membuka akaun bank, yang berkemungkinan berkait dengan aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram. “Semakan mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga syarikat didaftarkan atas nama Connie dan dua lagi atas nama suaminya. Mereka sendiri tidak mengetahui kewujudan syarikat-syarikat ini,” jelasnya.

Selain itu, mangsa juga mendakwa tandatangan mereka mungkin telah dipalsukan dalam beberapa dokumen, manakala mereka dipaksa terus menjalankan arahan walaupun selepas mengalami kecederaan akibat dipukul. “Malah selepas insiden dipukul, mangsa masih diarahkan untuk ke Johor Bahru bagi menandatangani dokumen lain, menunjukkan bagaimana sindiket ini beroperasi tanpa belas kasihan,” katanya.

MHO kini sedang mengumpul bukti lanjut termasuk semakan akaun bank dan transaksi syarikat bagi membantu siasatan pihak berkuasa. “Ini bukan lagi sekadar isu kewangan, tetapi telah berkembang menjadi jenayah serius melibatkan eksploitasi identiti, ugutan dan keganasan,” tegasnya.

Pihak MHO turut menggesa agar tindakan segera diambil bagi melindungi golongan rentan daripada terus menjadi mangsa serta membanteras rangkaian sindiket ahlong yang semakin kompleks dan berbahaya.