Tragedi pelajar KPTM Kota Bharu: KPTMSB mohon henti spekulasi, hulur bantuan kepada keluarga
Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu yang ditemui maut pada Jumaat, 1 Mei lalu di Ketereh, Kelantan.
Dalam satu kenyataan sebentar tadi, KPTMSB berkata pihaknya mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat tersebut.
Menurut kenyataan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Pihak KPTMSB sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan tersebut,” menurut kenyataan dikeluarkan Seksyen Komunikasi Korporat KPTMSB.
Dalam masa sama, KPTMSB turut memaklumkan pihaknya menyediakan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi membantu mereka menghadapi saat-saat sukar ini
Sehubungan itu, warga kampus dan orang ramai dimohon agar tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi yang tidak sahih berkaitan insiden ini bagi menghormati privasi keluarga dan memastikan kelancaran siasatan
Tambah kenyataan itu, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi KPTMSB.
Untuk rekod, mayat pelajar KPTM Kota Bharu itu ditemui dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya oleh penduduk kampung pada jam 12.30 tengah malam, 1 Mei lalu.
Mangsa ditinggalkan dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah di Jalan Kampung Kubang Kiat, Kampung Simah, Ketereh tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Susulan kes pembunuhan ngeri itu, dua lelaki ditahan polis malam tadi di sekitar Ketereh.
Polis dijangka mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
BACA JUGA Gilanya sampai 61 tikaman, gadis Perak maut di Kelantan, polis tahan dua lelaki