Pesta Chithirai Sentosa 2026 angkat perpaduan, warisan budaya India –

FB Live… Sidang Media bersama YB Dr. Gunaraj George ADUN Sentosa sempena Pra Sambutan Pesta Kebudayaan Chithirai Perpaduan Sentosa 2026 di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, Jalan Sungai Jati, Bandar Sentosa, Klang, Selangor. 2hb Mei 2026 (Sabtu)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George hari ini mengumumkan penganjuran Sentosavin Otrumai Chithirai Cultural Festival 2026 sebagai usaha memperkukuh perpaduan komuniti serta memelihara warisan budaya masyarakat India di kawasan tersebut. Menurut beliau, festival bersempena Tahun Baharu Chithirai itu akan diadakan pada 10 Mei ini di SJKT Taman Sentosa bermula jam 8 pagi hingga 7 petang, dengan pelbagai pengisian menarik untuk masyarakat setempat.

“Penganjuran ini bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui keindahan budaya, di samping memastikan warisan turun-temurun terus dipelihara oleh generasi muda,” katanya. Festival tersebut akan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk persembahan tarian dan muzik tradisional India, pertandingan permainan tradisional, pameran budaya, serta gerai makanan tradisional.

Selain itu, program komuniti seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti kekeluargaan, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan turut disediakan bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. Gunaraj berkata, penganjuran ini merupakan hasil kerjasama erat antara gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadah masyarakat India, pihak sekolah serta sukarelawan tempatan.

“Temasya ini mencerminkan kekuatan perpaduan komuniti. Melalui budaya, kita dapat merapatkan hubungan tanpa mengira latar belakang,” ujarnya. Tambah beliau, festival itu dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung termasuk dari luar kawasan, sekali gus menjadi platform interaksi sosial yang sihat dan inklusif.

Bagi menambah kemeriahan, pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, komputer riba dan telefon bimbit turut disediakan kepada pengunjung. Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan sambutan serta menghayati keunikan budaya masyarakat India dalam suasana harmoni, selaras dengan tema “Santhosamana Sentosa – Bersama Kita Raihkan Perpaduan.”
