Kerajaan Sabah tambah biasiswa, lebih 5,000 pelajar baharu terima manfaat

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah oleh Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama Mahasiswa-Mahasiswi Sabah Zon Tengah Tahun 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Selangor. 2hb Mei 2026 (Sabtu)

Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh usaha membantu kebajikan pelajar apabila menganjurkan Majlis Perasmian Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah bersama mahasiswa Sabah Zon Tengah.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif yang turut menyampaikan amanat serta perkembangan terkini berkaitan bantuan pendidikan negeri kepada para pelajar.

Menurut beliau, program jelajah ini bertujuan mendekati mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, selain menjadi platform untuk mengenal pasti keperluan serta cabaran yang dihadapi mereka. “Program ini merupakan siri kelima bagi tahun 2026 dan menghimpunkan pelajar daripada 11 universiti dengan kehadiran lebih 300 hingga hampir 400 mahasiswa. Kita bukan sahaja beramah mesra, malah mendengar sendiri permasalahan anak-anak Sabah di zon tengah ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam daripada Ketua Menteri Sabah kepada para pelajar serta menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan pendidikan terus terpelihara.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan untuk mengekalkan serta menambah jumlah biasiswa bagi tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada lebih 5,000 pelajar baharu menerima bantuan.

“Secara keseluruhan, jumlah penerima termasuk pelajar baharu dan sedia ada kini mencecah lebih 11,000 orang di seluruh negara,” jelasnya. Selain biasiswa kerajaan negeri, pelbagai agensi turut memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan pendidikan termasuk Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah serta Pejabat Tugas-Tugas Khas Ketua Menteri.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa keutamaan pemberian biasiswa masih diberikan kepada pelajar daripada golongan B40, namun peluang turut dibuka kepada pelajar lain melalui skim bantuan alternatif seperti dermasiswa Yayasan Sabah.

Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), mereka juga boleh mendapatkan sokongan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada bidang TVET dan STEM, dengan kira-kira 70 peratus penerima biasiswa melibatkan bidang tersebut,” katanya lagi.

Program roadshow ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan mahasiswa Sabah di perantauan, di samping memastikan kebajikan serta keperluan pendidikan mereka terus diberi perhatian.