Hak Bumiputera bukan permainan ‘zero sum’- Anwar

Kerajaan menegaskan pendekatan pemerkasaan Bumiputera tetap diperkukuh tanpa menjejaskan prinsip keadilan inklusif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan memberi kemasukan automatik ke program matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh 10A tidak menghakis peluang Bumiputera, sebaliknya dilaksanakan bersama jaminan kuota sedia ada.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus pelajar Bumiputera masih mendapat tempat dalam program tersebut, sekali gus menepis dakwaan kerajaan mengabaikan kepentingan golongan itu.

“Jangan lihat satu aspek sahaja tanpa memahami keseluruhan dasar, ini bukan permainan zero-sum,”katanya.

Anwar berkata pendekatan itu mencerminkan dasar kerajaan yang mengimbangi keperluan merit dan keadilan sosial tanpa mengorbankan mana-mana pihak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pengarah MARA, Datuk  Zulfikri Osman.

Dalam masa sama, kerajaan terus memperkukuh sektor pendidikan melalui MARA dengan peruntukan mencecah RM43 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta pelajar.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan mobiliti sosial Bumiputera terus meningkat dalam sistem pendidikan yang lebih seimbang dan inklusif.