Mahkamah Israel lanjut tahan aktivis flotilla, mogok lapar bantah layanan
Mahkamah Israel pada Sabtu memutuskan untuk melanjutkan penahanan dua aktivis misi bantuan ke Gaza, Global Sumud Flotilla, selama dua hari lagi.
Dua individu terbabit, Thiago de Avila dan Saif Abukeshek, ditahan tanpa sebarang pertuduhan rasmi setakat ini dan masih berada dalam siasatan peringkat pra-dakwaan.
Menurut kenyataan kumpulan advokasi Palestin di Israel, Adalah, pihak pendakwa raya Israel sebelum ini memohon lanjutan tahanan selama empat hari atas alasan berkaitan keselamatan.
Namun, peguam kepada kedua-dua aktivis berhujah bahawa keseluruhan proses undang-undang tersebut adalah “cacat secara asas dan tidak sah”.
Kedua-dua aktivis itu dilaporkan akan dipindahkan semula ke pusat tahanan Shikma di Ashkelon, Israel, dan kini ditempatkan dalam keadaan pengasingan.
Mereka juga dilaporkan melancarkan mogok lapar sebagai tanda bantahan terhadap penahanan yang didakwa tidak sah serta layanan buruk yang diterima.
Insiden penahanan itu berlaku selepas flotilla berkenaan diserang pada Khamis berhampiran sebuah pulau di Greece, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka di Gaza.
Misi tersebut bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan oleh Israel sejak 2007.
Sekatan berterusan telah menyebabkan kira-kira 2.4 juta penduduk Gaza berdepan krisis makanan dan kemanusiaan yang kritikal.
Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dilaporkan telah mengorbankan lebih 72,000 nyawa, mencederakan lebih 172,000 orang, serta memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu.
BACA JUGA Trump nak ‘ambil’ Cuba? Presiden label ancaman bahaya