Pemergian Jalil Hamid turut dirasai anak rakannya
Pemergian pelakon dan pelawak Allahyarham Jalil Hamid tengahari ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat beliau bahkan anak kepada rakan-rakan beliau.
Ianya dicatatkan oleh anak rakan baik beliau, pelakon Haron Aminar Rashid atau Haron Salim Bachik iaitu Danial Al Rashid (gambar bawah) yang juga merupakan Adun Batu Tiga, Selangor.

“Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh dunia seni tanah air, tetapi juga oleh kami yang pernah mengenali beliau secara peribadi.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosa dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang beriman,” tulis Danial menerusi facebook beliau.
Pelakon, Jalil Hamid, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari tadi.
Khabar duka itu dikongsikan anaknya, Afiqah Jalil, yang memaklumkan Allahyarham didapati tidak lagi bernyawa ketika dikejutkan oleh ibunya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Selepas solat Subuh, ayah tertidur. Kemudian sekitar jam 12.30 tengah hari, ibu pergi memeriksa ayah dan mendapati ayah sudah tiada.
“Kami sekeluarga memohon semua mendoakan agar urusan ayah dipermudahkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya ringkas kepada media.
Menurut Danial, beliau menerima berita pemergian Allahyarham Jalil Hamid dengan penuh rasa sedih.
“Allahyarham bukan sekadar figura seni yang dihormati, tetapi juga seorang sahabat baik kepada arwah ayah saya.
“Sejak kecil, saya membesar dengan mengenali beliau — khususnya ketika kami sama-sama menetap di Taman Alam Megah Shah Alam.
“Kenangan bersama beliau cukup dekat di hati,” katanya.
Bagi Adun dari AMANAH itu, Jalil seorang yang mesra, rendah diri dan sentiasa membawa keceriaan kepada orang sekeliling.
BACA JUGA Aku selesa dan bangga bersama Amanah