Krisis global beri tekanan, tapi ada peluang- Pakar
Dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu, Malaysia perlu bergerak lebih tangkas dan strategik bagi memastikan kestabilan serta daya tahan ekonomi negara terus terpelihara.
Perkara itu menjadi antara fokus utama dalam program Future Focus Series: Malaysia’s Strategic Position in a Turbulent Global Economy yang dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Razak School of Government (RSOG) di bawah Institut Tadbiran Awam Negara, hari ini.
Program yang berlangsung di DoubleTree by Hilton, Putrajaya itu menghimpunkan lebih 150 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademik dan masyarakat sivil bagi membincangkan cabaran semasa ekonomi global.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Shahrazat Haji Ahmad, mewakili Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.
Dalam ucaptamanya, Shahrazat menegaskan peranan RSOG sebagai pemangkin dalam memperkukuh kepimpinan dan tadbir urus sektor awam, khususnya dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
“Kerjasama rentas sektor amat penting untuk memastikan sektor awam kekal tangkas dan berdaya tahan,” katanya.
Sesi dialog turut menampilkan beberapa tokoh ekonomi dan industri termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tony Fernandes, serta Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Turut serta ialah Pengarah Bahagian Makro Kementerian Ekonomi, Suhana Md. Saleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Institute, Danial Rahman.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk kesan krisis di Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia, selain gangguan rantaian bekalan, perubahan landskap perdagangan global dan perkembangan teknologi.
Panel turut berpandangan Malaysia masih mempunyai kelebihan sebagai hab serantau, namun perlu lebih agresif dalam menyesuaikan dasar dan strategi ekonomi.
Sebagai siri sulung, Future Focus Series dilihat sebagai platform strategik untuk merangka pendekatan baharu dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha reformasi perkhidmatan awam, khususnya dalam meningkatkan kecekapan penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
RSOG menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta demi memastikan pembangunan negara kekal mampan dan berimpak tinggi.
BACA JUGA Minyak dunia melangit, tapi subsidi masih ada untuk rakyat, PMX kongsi formula