Malaysia mula guna biodiesel B15 mulai Jun
Kerajaan akan mula melaksanakan penggunaan biodiesel B15 bermula 1 Jun ini sebagai sebahagian usaha menurunkan kos diesel dalam negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahan api itu akan dikeluarkan melalui 19 loji berlesen secara berperingkat.
Menurutnya, pelaksanaan akan dimulakan dengan campuran B15 sebelum ditingkatkan kepada B20, dengan potensi mencapai B50 dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Kita lakukan secara berperingkat supaya harga minyak sawit mentah (CPO) tidak membebankan kos pengeluaran biodiesel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulan Mei Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.
Zahid menjelaskan kerajaan akan menilai secara berterusan harga pasaran minyak sawit mentah dan bahan api fosil bagi memastikan kos pengeluaran biodiesel kekal kompetitif.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan tekanan kepada industri sawit serta memastikan pelaksanaan biodiesel tidak memberi kesan negatif kepada pasaran.
Pelaksanaan biodiesel secara berperingkat dilihat sebagai sebahagian strategi jangka panjang kerajaan dalam memperluas penggunaan tenaga alternatif serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Langkah itu juga dijangka memberi impak kepada kestabilan harga bahan api dalam negara, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.