Pukul isteri jadi ‘mayat hidup’ – Hakim kata pelaku langsung tiada penyesalan

Mahkamah Rayuan menggambarkan seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sebagai ‘hidup hanya pada nama’, selepas mengalami kecederaan otak kekal akibat dipukul suaminya ketika hamil.

Panel tiga hakim yang diketuai Azman Abdullah memutuskan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan.

Hakim Noorin Badaruddin berkata mangsa, Jahidah Nordin kini berada dalam keadaan vegetatif kekal, bergantung sepenuhnya kepada penjagaan orang lain.

“Tahap keganasan amat serius sehingga menyebabkan mangsa seperti ‘mayat hidup’,” katanya ketika membacakan keputusan.

Memetik laporan portal MalaysiaGazette, mahkamah memberitahu, perbuatan itu berlaku dalam konteks keganasan rumah tangga yang melibatkan pelanggaran kepercayaan dalam institusi perkahwinan.

Hakim berkata tertuduh bukan sahaja tidak menunjukkan penyesalan, malah memilih untuk melalui perbicaraan penuh tanpa memberikan sebarang bantuan kepada mangsa selepas kejadian.

“Mangsa ketika itu mengandung dan berada dalam keadaan sangat terdedah,” katanya.

Mahkamah turut mendapati kesan keganasan itu bukan sahaja menimpa mangsa, tetapi juga anak yang dikandung ketika kejadian.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden berkenaan.

Mahkamah menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun yang diputuskan Mahkamah Sesyen kepada 14 tahun, berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, Rosmaini diperintahkan membayar pampasan RM25,000 kepada mangsa melalui wakil keluarganya, dengan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tambahan hukuman penjara enam bulan.

Mahkamah menegaskan kes itu bukan kecederaan biasa, sebaliknya satu serangan kejam dan berterusan yang membawa kesan seumur hidup kepada mangsa.