Anwar arah penguatkuasaan lebih ‘keras’, sasar penyeludupan
Kerajaan memberi amaran tegas bahawa ketirisan dan penyeludupan tidak akan lagi dikompromi, dengan penguatkuasaan lebih ketat dan konsisten di semua peringkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata integriti dalam penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi memastikan setiap dasar kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.
“Ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi. Tindakan mesti lebih tegas dan konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menurut Anwar, pelaksanaan subsidi bersasar termasuk diesel dan elektrik merupakan antara langkah penting bagi mengelakkan ketirisan yang selama ini membebankan kewangan negara.
Katanya, pendekatan itu memastikan bantuan hanya sampai kepada golongan yang benar-benar layak, termasuk pengangkutan barangan, nelayan dan sektor agri-komoditi.
Dalam masa sama, kerajaan turut memperketat penguatkuasaan terhadap kartel dalam sektor makanan, khususnya ayam dan telur, bagi memastikan harga kekal stabil tanpa manipulasi pasaran.
Langkah itu dilaksanakan melalui gabungan rundingan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif.
Anwar menegaskan semua langkah diambil berteraskan keseimbangan antara melindungi rakyat dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dalam keadaan global yang tidak menentu.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan kerajaan bertindak lebih tepat, telus dan berkesan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.