Kedah, Perlis kering – Anwar arah ‘pembenihan awan’ segera

Kerajaan mengarahkan pelaksanaan segera pembenihan awan di negeri kritikal seperti Kedah dan Perlis susulan keperluan mendesak menangani cuaca kering.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata arahan itu diberikan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mempercepat pelaksanaan termasuk meneroka penggunaan teknologi dron.

“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian tahun ini.

Dalam pertemuan itu, isu melibatkan tiga ekor gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun turut dibincangkan.

Anwar menegaskan kebajikan haiwan berkenaan mesti menjadi keutamaan, dengan sebarang keputusan perlu dibuat berasaskan fakta serta kepentingan terbaik haiwan tersebut.

Beliau turut menggesa agar maklumat telus dan berfakta disalurkan secara berterusan kepada rakyat.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menekankan kepentingan tadbir urus berkualiti, integriti yang kukuh serta pendekatan sifar toleransi terhadap ketirisan dalam pentadbiran.

Langkah itu, katanya, menjadi asas kepada usaha membina Malaysia yang lebih inklusif, makmur dan mampan.