Chegubard tuduh biayai entiti haram? Setiausaha politik Antony lapor polis

Satu laporan polis dibuat terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin berhubung dakwaan berunsur fitnah terhadap Menteri Pengangkutan.

Setiausaha politik kepada Antony Loke Siew Fook, Ho Weng Wah berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sekitar tengah hari tadi.

Ia susulan hantaran di Facebook oleh Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa Loke menyalurkan dana kepada entiti yang dikatakan tidak sah.

“Hantaran itu mengandungi tuduhan serius termasuk mengaitkan isu berkenaan dengan institusi diraja,” katanya kepada pemberita.

Menurut Ho, kenyataan yang dibuat dalam hantaran tersebut dipercayai menyentuh isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R), yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi mengekang penyebaran maklumat tidak tepat serta fitnah yang boleh menggugat keharmonian negara.

Beliau berkata pihak polis digesa menjalankan siasatan lanjut terhadap hantaran berkenaan yang dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang.

Antaranya termasuk Seksyen 505 dan 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan isu sensitif tidak dimanipulasi sehingga menjejaskan kestabilan negara.