PH Kedah tenang isu BN solo – Perpaduan tak goyang

Pakatan Harapan (PH) Kedah menegaskan hubungan dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu kekal stabil meskipun wujud pelbagai spekulasi mengenai kerjasama politik menjelang PRU16.

Timbalan Pengerusi PH Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata hubungan antara kedua-dua blok dalam Kerajaan Perpaduan masih berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.

Menurutnya, kerjasama politik di Kedah terus diperkukuh melalui pelbagai platform termasuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri serta program bersama di peringkat negeri dan Parlimen.

Asmirul berkata hubungan antara PH dan BN bukan bersifat sementara, sebaliknya dibina atas asas persefahaman bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memaklumkan kepimpinan PH Kedah yang diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan BN negeri yang dipimpin Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan bergerak solo dalam PRU16, beliau berkata PH Kedah menghormati pendirian tersebut sebagai sebahagian daripada dinamika politik semasa.

Namun, katanya, sehingga kini belum ada sebarang keputusan muktamad di peringkat nasional berhubung bentuk kerjasama antara PH dan BN bagi pilihan raya akan datang.

Asmirul menegaskan PH Kedah kekal terbuka terhadap apa jua pendekatan, sama ada kerjasama diteruskan atau bergerak secara berasingan, selagi tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Beliau berkata hubungan politik sedia ada dibina atas dasar persefahaman, selain turut menyambut baik pelbagai gagasan pembangunan termasuk Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 serta agenda Malaysia MADANI.

Menurutnya, PH Kedah kekal berpegang kepada prinsip bahawa politik tidak seharusnya terikat kepada kepentingan partisan semata-mata.

Sebaliknya, katanya, keutamaan harus diberikan kepada kebajikan rakyat, kestabilan negara dan kesejahteraan bersama.