Festival air bukan isu moral : MCA ‘sekolah’ Akmal

Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low membidas cadangan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh untuk membatalkan Rain Rave Water Music Festival 2026, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berpotensi menjejaskan ekonomi negara.

Menurut Low, pendekatan menentang acara pelancongan berskala besar itu dilihat tidak konstruktif ketika Malaysia sedang berusaha merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.

“Acara seperti ini bukan hiburan semata-mata, tetapi strategi untuk menarik pelancong dan merangsang ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Low berkata bantahan terhadap festival itu mencerminkan pendekatan emosional yang tidak mengambil kira realiti ekonomi semasa, terutama ketika negara berdepan ketidaktentuan global.

Katanya, pelancongan kekal sebagai antara industri paling berkesan dalam menjana pendapatan segera kepada negara.

Menurut beliau, pada 2024 sahaja sektor itu menyumbang RM106.7 bilion kepada ekonomi Malaysia.

Beliau menjelaskan penganjuran festival di Bukit Bintang bukan kebetulan, sebaliknya lokasi strategik yang mampu memaksimumkan impak kepada ekonomi tempatan.

Katanya, acara seperti itu memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk peniaga kecil, industri hospitaliti, pengangkutan dan peruncitan.

Low turut mengingatkan bahawa Malaysia menyasarkan 47 juta pelancong dengan hasil RM300 bilion menerusi kempen Visit Malaysia 2026.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan kreatif dan acara berimpak tinggi perlu disokong, bukan ditolak tanpa asas kukuh.

Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian budaya Malaysia seharusnya diraikan sebagai kekuatan dalam menarik pelancong global.

Katanya, bantahan berasaskan sentimen sempit bukan sahaja tidak membantu, malah berisiko menjejaskan imej negara di mata dunia.

Low menambah usaha pemulihan ekonomi yang sedang berjalan tidak wajar diganggu oleh cadangan yang tidak berpaksikan fakta dan kepentingan nasional.

BACA JUGA ASEAN ubah import minyak, krisis global beri tekanan tapi buka peluang