PRN: Gagasan Kerajaan Perpaduan jadi formula kesepakatan PH-BN

Formula bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah gagasan Kerajaan Perpaduan yang memerlukan kesepakatan bersama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Borhan Aman Shah berkata kekuatan jentera kedua-dua gabungan politik itu mampu memberikan impak besar bagi meraih sesuatu di luar jangkaan dalam pilihan raya negeri nanti.

Bagi PH katanya gerak kerja jentera dilaksanakan berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimantapkan bagi menghadapi cabaran Perikatan Nasional (PN) yang mahu menguasai negeri Selangor.

“Daripada segi jentera dan logistik, persiapan memang sudah dilakukan lebih awal sebab kita tahu bahawa PRN akan tiba dan kita bersedia untuk menggempur PN.

“Kekuatan dan persediaan jentera PH dalam PRU15 yang lalu akan diguna pakai dengan mengekalkan apa yang sudah ada untuk menghadapi PRN Selangor,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha PH negeri berkata kerjasama PH dengan Barisan Nasional (BN) melalui Kerajaan Perpaduan diharap dapat menjalankan tanggungjawab secara bersama dengan baik.

“Ini adalah bagi memastikan persediaan dan kekuatan jentera dapat digembleng secara bersama-bersama dalam menghadapi PRN di Selangor,” katanya yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat dan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan.

Tambahnya, segala persediaan itu akan merangkumi aturan strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi PH bersama parti komponen BN termasuk di lima negeri lain yang menghadapi PRN.

Pada Mac lalu PN mengisytiharkan kempen ‘Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!’ bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini di enam negeri iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor, Kelantan (45), Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi dan Terengganu (32).

BACA JUGA: 10 inisiatif terbaik kerajaan PH Selangor khas buat rakyat

Â