Mangsa rugi Rm500,000 dakwa diperdaya pelaburan stesen minyak tidak wujud

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Muhammad Falaq Adnan (Aktivis MHO) dibantu May Eva Sofea Zainal Abidin peguam mengenai pelaburan stesen mintak disyaki tidak wujud mangsa rugi RM500,000 di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 5 Mei 2026 (Selasa)

Seorang individu mengalami kerugian sebanyak RM500,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan pembinaan stesen minyak yang disyaki tidak wujud, didedahkan hari ini yang dikendali oleh Muhammad Falaq Adnan Aktivis MHO dan dibantu peguam May Eva Sofea Zainal Abidin, yang mewakili mangsa dalam kes berkenaan.

Menurut Muhamnad Falaq, kes penipuan pelaburan kini semakin membimbangkan, dengan peningkatan kes melibatkan skim pelaburan tidak wujud yang dipromosikan oleh individu tidak bertanggungjawab melalui pelbagai medium termasuk media sosial. Kes terbaharu melibatkan seorang mangsa yang mendakwa diperdaya oleh seorang individu tempatan untuk melabur dalam projek pembinaan stesen minyak di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia. Suspek dipercayai menggunakan sebuah syarikat berdaftar serta mengemukakan surat tawaran yang kononnya melibatkan francais pembekal minyak bagi meyakinkan mangsa.

Berikutan keyakinan terhadap dokumen dan janji pulangan lumayan, mangsa bersetuju membuat pelaburan penuh sebanyak RM500,000 dengan jaminan keuntungan bulanan. Bagi menunjukkan komitmen, suspek turut menyerahkan beberapa keping cek bertarikh hadapan, namun kesemua cek tersebut didapati tidak laku apabila cuba ditunaikan.

“Mangsa kemudiannya menghubungi individu terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun hanya diberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sehingga kini, projek yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan,” katanya. Mangsa mula mengesyaki berlaku penipuan apabila tiada perkembangan projek pembinaan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kemampuan suspek membayar pulangan seperti dijanjikan.

Pada Februari 2026, mangsa telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu terbabit. Sehubungan itu, MHO bersama wakil mangsa tampil menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang disyaki terlibat.

Dalam masa sama, MHO turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas usaha berterusan meningkatkan kesedaran mengenai jenayah penipuan, namun menegaskan bahawa orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa asas yang kukuh.Sidang media tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat serta mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan pelaburan seumpama itu.