Asing AG & Pendakwa Raya makin dekat? Azalina kata draf RUU hampir siap
Kerajaan semakin menghampiri langkah penting dalam reformasi institusi apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kini berada di fasa akhir memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu memberi fokus kepada penggubalan draf RUU berdasarkan syor yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menurutnya, pembentangan turut dibuat oleh Jabatan Peguam Negara berhubung cadangan draf undang-undang baharu yang menjadi asas kepada pindaan tersebut.
“Jawatankuasa menyasarkan untuk memuktamadkan RUU ini dalam masa terdekat sebelum penyata rasmi dikemukakan menjelang mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat tersebut merupakan kesinambungan siri perbincangan terdahulu bagi memperhalusi cadangan pindaan Perlembagaan yang dilihat sebagai antara reformasi utama sistem perundangan negara.
Selain itu, beberapa ahli Parlimen daripada pelbagai kawasan termasuk Parit Sulong, Selayang, Bangi dan Muar turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Azalina menegaskan kerajaan MADANI komited memastikan proses pengasingan kuasa ini dilaksanakan secara teliti, berprinsip dan selaras dengan Perlembagaan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memperkukuh doktrin pengasingan kuasa serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.