Bukan sekadar hubungan diplomatik : Malaysia & Uzbekistan bersatu demi ilmu

Kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Uzbekistan dilihat sebagai langkah penting dalam membina masa depan berasaskan ilmu, dengan penekanan kepada tradisi keilmuan yang mendalam dan berprinsip.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa walaupun kedua-dua negara dipisahkan oleh jarak geografi, hubungan intelektual telah lama terjalin melalui penyebaran ilmu.

Menurut baginda, dunia Melayu turut mendapat manfaat daripada sarjana dari pelbagai wilayah termasuk Asia Tengah, dengan nama-nama seperti Samarkand dan Maa Waraa’ al-Nahr kekal dalam ingatan tradisi keilmuan.

“Peradaban Islam tidak pernah dimiliki oleh satu bangsa sahaja, sebaliknya berkembang merentasi wilayah melalui perjalanan, penterjemahan, pengajaran dan penghormatan terhadap ilmu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Diraja bertemakan “The Scientific Tradition in Islamic Civilisation: Sources, Potential, and Challenges” yang berlangsung di Pusat Tamadun Islam di Tashkent, Uzbekistan.

Tambah baginda, kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan dalam persidangan tersebut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar hubungan pentadbiran.

Ia mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh bidang keilmuan, pemeliharaan warisan serta usaha pembaharuan ilmu demi manfaat masa depan.

Raja Zarith Sofiah turut menegaskan bahawa Uzbekistan merupakan antara pusat sejarah utama ilmu dalam dunia Islam, dengan tokoh-tokoh besar seperti Imam al-Bukhari, Imam al-Maturidi dan Al-Biruni yang terus dihormati hingga kini.

Menurut baginda, tokoh-tokoh ini menjadi simbol kepada sebuah tamadun yang meletakkan ilmu sebagai asas utama pembangunan masyarakat.