Malaysia ‘tapau’ emas Asia! Program NTIS bukti teknologi tempatan bukan sekadar cakap kosong
Malaysia mencatat pencapaian baharu apabila program National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) meraih anugerah emas di Asia-Pacific Stevie Awards 2026, sekali gus mengangkat negara sebagai pemain serius dalam arena inovasi serantau.
Program yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu memenangi Gold Stevie® Award bagi kategori pengurusan dan pelaksanaan teknologi kerajaan, dalam majlis yang berlangsung di Macau pada 17 April lalu.
Menurut MOSTI, kejayaan itu mencerminkan perubahan pendekatan Malaysia dalam pembangunan ekonomi, daripada model tradisional kepada ekosistem “living lab” yang menghubungkan idea inovasi dengan pasaran sebenar.
Sejak dilancarkan pada 2020, NTIS yang diselaras oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) berkembang menjadi platform penting bagi membantu startup dan penyelidik menguji teknologi berimpak tinggi seperti sistem autonomi dan robotik maju.
Program itu turut mencatat impak ekonomi ketara, termasuk menjana nilai pengkomersialan lebih RM171.8 juta serta menyalurkan pembiayaan RM142.2 juta kepada 229 projek berimpak tinggi.
Selain itu, NTIS turut menyumbang kepada penciptaan 333 pekerjaan berpendapatan tinggi, di samping menghasilkan RM122.8 juta nilai eksport menerusi projek antarabangsa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata pengiktirafan itu membuktikan kemajuan ekosistem inovasi negara yang kini lebih tertumpu kepada pengkomersialan dan impak sebenar kepada ekonomi.
“Fokus kita bukan sekadar membangunkan teknologi, tetapi memastikan ia diterima pasaran dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Ghazi pula menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti komitmen Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan teknologi.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif melibatkan agensi seperti Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), MIMOS dan Futurise membantu menghapuskan halangan regulatori serta mempercepatkan inovasi ke pasaran.
Anugerah Stevie® tahun ini menyaksikan lebih 1,000 pencalonan daripada 29 negara, menjadikan kemenangan NTIS sebagai antara pencapaian paling kompetitif di rantau Asia-Pasifik.
Memasuki fasa seterusnya, NTIS kini memberi tumpuan kepada peluasan impak global menerusi inisiatif Global Testbed & Sandbox Alliance (GTSA), bagi membolehkan inovasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih pantas.
BACA JUGA Pemuda AMANAH mahu potong gaji wakil rakyat ponteng