Malaysia tak kuat kalau berpecah – Kor Ming seru rakyat ‘peluk’ kepelbagaian

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyeru rakyat Malaysia supaya terus mengangkat nilai kepelbagaian dan memperkukuh perpaduan sebagai asas membina negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Dalam sesi dialog tertutup bersama pemimpin gereja seluruh negara, beliau menegaskan kekuatan Malaysia terletak pada sifat masyarakat majmuk yang unik.

“Kepelbagaian bukan kelemahan, tetapi kekuatan terbesar kita. Kita mesti hidup dengan semangat ‘Malaysian Dream’ saling menghormati, memahami perbezaan dan bekerjasama demi kebaikan bersama,” katanya.

Nga turut menyatakan kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di landasan tepat dalam usaha memulihkan keyakinan pelabur serta memperkukuh asas ekonomi dan sosial negara.

Menurutnya, pelbagai inisiatif bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bahan api BUDI MADANI telah membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama, beliau turut memetik petunjuk ekonomi yang semakin positif termasuk peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pengukuhan nilai ringgit dan kestabilan makroekonomi yang semakin baik.

Katanya, perkembangan ini mencerminkan keyakinan pelabur yang kembali pulih, dengan Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 negara paling berdaya saing dunia, meningkat daripada tangga ke-37 sebelum ini.

Namun, Nga mengingatkan bahawa proses membina semula negara memerlukan masa serta komitmen berterusan.

“Kita mohon rakyat terus bersabar, memberi sokongan dan kepercayaan agar reformasi yang dilaksanakan mampu membawa pertumbuhan mampan,” katanya lagi.

Sesi dialog tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman antara agama serta memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memupuk inklusiviti dan perpaduan di bawah kerangka MADANI.

BACA JUGA MADA, pesawah lega Anwar lulus duit awal bajak sawah