Sultan bukan ‘rubber stamp’, Dewan di-Raja Selangor jawab kritikan politik
Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri sambil menegaskan titah baginda adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, pandangan serong dan negatif sebahagian pemimpin politik berhubung titah baginda sempena pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu adalah tidak berasas serta berpunca daripada salah faham terhadap peranan raja dalam sistem pemerintahan negara.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menjelaskan bahawa titah ialah ucapan seorang raja atau sultan yang turut membawa maksud nasihat.
Jelasnya, titah baginda adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
“Dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan baginda dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Rundingan membawa maksud bahawa baginda mempunyai hak untuk diberi sembah maklum mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Sultan Selangor mengetahui apa yang berlaku di samping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan.
“Pandangan dan nasihat Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik,” tegasnya.
Nasihat dan teguran
Tambahnya, sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah adalah nasihat dan teguran penting dari seorang raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam masa sama, Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor berkata, baginda sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan rnasalah rakyat bersesuaian dengan peranan baginda sebagai ketua negeri.
Ia menjelaskan, Sultan Selangor kerap menerima aduan dari rakyat tentang masalah yang melibatkan banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta banyak lagi masalah lain yang berkaitan dengan rakyat.
Katanya, aduan–aduan yang disampaikan kepada baginda bukan surat layang kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon mereka bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar terdesak mahukan tuanku menegur kerajaan negeri atas kesulitan dan masalah yang mereka hadapi.
“Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai ‘rubber stamp’ atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi baginda sebagai sultan.
“Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor yakin baginda yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan,” kata mereka lagi.
BACA JUGA Johor tidak perlukan Adun lantikan, AMANAH persoal motif kerajaan negeri bawa RUU baharu