‘Siap sedia hadapi pilihan raya, mereka tak puas hati’ – Tok Min
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta rakyat negeri itu bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau yang juga Naib Presiden PKR menegaskan bahawa kemelut dalaman politik yang berlaku ketika ini diluar jangkaan.
“Saya mahu rakyat Negeri Sembilan, penduduk negeri ini, bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
“Mereka tak puas hati. Hari ini kenyataan demi kenyataan (dikeluarkan). Seolah-olah kita terpaksa menerima.
“Tetapi kita juga manusia. Saya juga manusia. Saya juga rasa tercalar. Saya juga rasa hiba. Rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat.
“Peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa satu perkara yang dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain.
“Ini merupakan satu perkara yang cukup di luar perancangan ataupun pengetahuan kita,” katanya yang mesra dipanggil Tok Min.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkenaan berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan PH di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh jentera PH negeri itu menyusun strategi dan persiapan untuk berdepan sebarang kemungkinan politik selepas ini.
“Kita kena kuatkan saf-saf kita. AMANAH, PKR dan DAP harus kita bersiap sedia dalam apa cara sekalipun.
“Di Negeri Sembilan ini dan di Malaysia ini, kita kena bersiap sedia. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan memastikan kemenangan dalam pilihan raya,” katanya lagi.
Hari ini, UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan terbaharu memberitahu mereka menerima keputusan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
Walaupun begitu, UMNO negeri itu menegaskan bahawa pendirian dan tindakan menarik sokongan kepada Menteri Besar adalah kekal.
BACA JUGA Sultan bukan ‘rubber stamp’, Dewan di-Raja Selangor jawab kritikan politik